PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia merangkumi suntikan fiskal kerajaan bernilai RM38 bilion tahun lalu, manakala baki RM45 bilion lagi untuk tahun ini.
Katanya, untuk tahun ini empat pakej rangsangan yang terbabit merangkumi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) membabitkan suntikan fiskal RM2.8 bilion; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) berjumlah RM9 bilion.
“Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi tambahan (PEMERKASA+) pula berjumlah RM5 bilion dan PEMULIH bernilai RM10 bilion.
“Daripada keseluruhan suntikan RM45 bilion setakat ini pada tahun ini, kerajaan sudah membelanjakan RM18 bilion pada masa ini,” katanya pada sidang mengenai PEMULIH secara maya, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, daripada jumlah keseluruhan suntikan fiskal kerajaan ia akan dibiayai menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) berjumlah RM40 bilion, dan baki RM5 bilion lagi menerusi dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
“Tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM38 bilion menerusi suntikan fiskal untuk membiayai empat pakej rangsangan. Baki suntikan fiskal berjumlah RM17 bilion lagi akan di bawa ke tahun ini,” katanya.
Empat pakej rangsangan membabitkan suntikan fiskal kerajaan adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).-BH