KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan bantuan tunai RM500 kepada orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan pekerjaan atau ketiadaan kerja, untuk tempoh tiga bulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan memperuntuk RM30 juta untuk tujuan itu, dan kira-kira 20,000 OKU akan mendapat manfaat.
“Bagi membantu golongan kurang upaya yang kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja serta bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Kata beliau, kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing OKU dan gelandangan dalam perniagaan.
“Sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu,” katanya.-BH