Rumah sewa dijadikan ‘port’ berjudi

Estimate Reading Time: < 1 minute

Bukit Mertajam: Seorang lelaki menjadikan rumah disewanya di Kampung Paya Tanah Liat, di sini sebagai tempat berkumpul untuk menganjurkan aktiviti perjudian.

-Advertisement-

Tindakan itu terbongkar selepas serbuan polis di kediaman itu, semalam.

Dalam serbuan 3.45 petang itu, polis menahan penyewa lelaki berusia 48 tahun dan lapan individu lain termasuk empat wanita berusia lingkungan 42 hingga 57 tahun yang sedang leka berjudi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan Op Dadu itu dijalankan anggota dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

“Siasatan ke atas penyewa rumah berkenaan mendapati dia mengaku sebagai penganjur perjudian jenis ‘Si Goh Lak’ dan menyediakan semua barang-barang berkaitan untuk kegiatan itu.

-Advertisement-

“Aktiviti ini dijalankan lebih kurang tiga bulan dan menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat berkumpul,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, sindiket itu menggunakan aplikasi ‘Live Wechat Group’ sebagai platform penerimaan pertaruhan perjudian.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM19,641 termasuk pelbagai barang, antaranya 13 telefon bimbit; sembilan helai kertas putih tertulis angka disyaki catatan perjudian, 36 cip, set dadu, pen, kapur, kerusi plastik, meja dan kalkulator,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427