Lebih 114,000 orang berjaya dapat kerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya menempatkan semula 114,137 pencari kerja sejak pelaksanaan Program Penjana Kerjaya pada 1 Januari 2021 hingga 10 Jun 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, 95.4 peratus daripadanya adalah pemohon program PenjanaKerjaya 2.0.

“Pendaftaran untuk PenjanaKerjaya 2.0 masih dibuka bagi memberi pengalaman bekerja jangka pendek sepenuh masa kepada belia.

“Golongan belia yang masih mencari pekerjaan digalakkan untuk mendaftar di bawah Portal MYFutureJobs iaitu www.myfuturejobs.gov.my.

“Majikan juga digalakkan untuk melaksanakan pengambilan melalui Portal MYFutureJobs dan memohon insentif pengambilan dan latihan sebelum 30 Jun 2021 di laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-57, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, setakat 4 Jun lalu, jumlah permohonan diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah RM12.12 bilion yang akan memberi manfaat kepada 25,680 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana ‘Special Relief Facility’ (SRF), ‘Automation & Digitalisation Facility’ (ADF), ‘All-Economic Sector Facility’ (AES) dan ‘Agrofood Facility’ (AF).

“Walaupun dana SRF sudah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

“PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464