KUALA LUMPUR: Hampir RM1.28 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi potongan gaji kepada Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) dalam tempoh lapan hari.
Sumbangan itu bertujuan meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di seluruh Semenanjung, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, berkata kutipan yang mula dilancarkan 9 Jun lalu, menarik lebih 11,000 warga kerjanya untuk membuat sumbangan melalui potongan gaji.
“Sumbangan melalui potongan gaji kepada Tabung WTP itu akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh terdekat ini.
“Pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan atau Yang Di Pertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.
“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih seminggu kempen ini bermula, warga kerja TNB menghulurkan sumbangan melalui potongan gaji bulanan pada Jun dan Julai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, beliau yakin jumlah kutipan akan terus meningkat sehingga kempen menderma ini berakhir pada 15 Julai depan.
Beliau memaklumkan, setiap ringgit yang didermakan warga kerja TNB kepada tabung berkenaan, syarikat utiliti itu akan menambah jumlah yang sama supaya lebih ramai orang mendapat manfaatnya.
“Saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat bandar yang mencabar, dan oleh itu amat memahami kesusahan masyarakat yang terjejas pendapatan dan mungkin juga kehilangan pekerjaan berikutan kegawatan ekonomi ketika ini.
“Kesedaran ini juga saya percaya dikongsi rakan-rakan saya yang lain di TNB,” katanya.
Katanya, pengagihan Tabung WTP itu akan diberikan dalam bentuk wang tunai secara dalam talian dan fizikal kepada penerima individu yang dikenal pasti, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Penerima dikenal pasti berdasarkan senarai golongan B40 membabitkan orang upaya upaya (OKU), e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penghuni Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.
“Selain penerima itu daripada maklumat yang diperoleh daripada Pusat Zakat Negeri serta maklum balas warga kerja TNB,” katanya.
Baharin berkata, selain kempen Tabung WTP itu, TNB sejak awal tahun ini sudah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.-BH