KLANG : Gara-gara tidak mempedulikan arahan supaya tidak berjoging dan berkumpul di kawasan larangan membawa padah kepada 54 orang yang dikompaun RM2,000 setiap seorang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, kesemua mereka yang diambil tindakan itu berusia antara 17 hingga 40 tahun kerana kesalahan berkumpul dan berjoging di Jambatan Muda Nala, di sini yang telah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
“Bertindak ke atas aduan awam berkaitan aktiviti berkumpul dan berjoging di Jambatan Muda Nala, sepasukan anggota Team Enforcement Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan diketuai oleh seorang pegawai telah menghala ke jambatan tersebut pada pukul 6 petang (semalam).
“Apabila tiba di lokasi aduan, kita mendapati terdapat ramai orang awam telah meletakkan kenderaan berdekatan tempat halangan batu dan berjoging serta melepak di atas Jambatan Raja Muda Nala yang telah ditutup semasa PKP 3.0,” katanya hari ini.
Ujarnya, pihak terbabit mendapat arahan untuk mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang berada di lokasi aduan dan turut menerima bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.”
“Siasatan mendapati mereka yang berada di situ bukan sahaja penduduk di kawasan sekitar tetapi juga dari luar kawasan berkenaan,” ujarnya.
Video berdurasi 0.29 saat itu tular menerusi aplikasi Whatsapp sejak malam tadi menunjukkan beberapa kereta polis serta orang awam berada di atas Jambatan Raja Muda Nala.-UTUSAN