KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (Public Bank) meneruskan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar bagi membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata program Bantuan Pembayaran Balik Bersasar COVID-19 Public Bank yang dilancarkan kali pertama pada Ogos 2020 merangkumi pakej pembayaran balik penuh yang amat fleksibel dan menyeluruh.
Beliau berkata, pakej pembayaran balik itu disediakan untuk semua segmen pelanggan individu serta PMKS dalam bentuk penangguhan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan.
“Bagi memberi lebih kemudahan kepada pelanggan, Public Bank turut membangunkan satu platform digital bagi membolehkan pemprosesan permohonan pelanggan secara terus melalui dalam talian bagi bantuan pembayaran balik itu.
“Program ini berjalan dengan lancar dan setakat ini, ia telah membantu lebih daripada 160,000 pelanggan, dengan nilai bantuan hampir RM40 bilion.
“Malah kadar kelulusan yang diberikan juga hampir 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ah Lek berkata, langkah proaktif Public Bank disamping inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi memulihkan ekonomi telah membantu pelanggannya membina semula kekuatan kewangan.
Beliau berkata, ketika ini, lebih 90 peratus daripada pelanggan Public Bank membayar ansuran pinjaman bulanan mereka.
“Bagaimanapun, Public Bank memahami bahawa peningkatan kes COVID-19 serta PKP yang diumumkan baru-baru memberi cabaran baharu.
“Banyak perniagaan kecil yang mengalami tempoh sukar apabila terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.
“Walaupun bank menyedari bahawa PKP perlu untuk melindungi keselamatan dan kesihatan orang ramai, kami akan terus memainkan peranan dan terus komited memberi bantuan segera,” katanya.
Mengulas lanjut, Ah Lek berkata, Public Bank memberi jaminan kepada pelanggannya terus menyediakan pakej bantuan pembayaran balik yang fleksibel bagi pelanggan membuat pilihan pembayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.
Beliau berkata, pelanggan individu yang hilang pekerjaan serta PMKS daripada golongan B40 yang terjejas, Public Bank menawarkan penangguhan pinjaman selama tiga bulan, atau pengurangan 50 peratus dalam pembayaran ansuran bulanan selama enam bulan.
Bagi pelanggan individu yang menghadapi pengurangan pendapatan, sama ada B40, M40 atau T20 serta PMKS pula katanya, Public Bank akan terus menyediakan pilihan pakej pembayaran balik yang berbeza-beza agar pelanggan boleh membuat bayaran balik bulanan yang rendah.
“Pelanggan terjejas ditawarkan pengurangan sehingga 75 peratus daripada ansuran bulanan di bawah pakej fleksibel itu.
“Pelanggan juga boleh mencadangkan penjadualan semula atau pengaturan semula lain yang bersesuaian dengan keadaan kewangan masing-masing,” katanya.-BH