JERTIH: Penduduk di Besut diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di daerah itu mulai 22 Mei hingga 4 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata makluman itu dibuat selepas terdapat kekeliruan dalam kalangan orang awam berkenaan SOP yang diguna pakai dan dikuatkuasakan di daerah berkenaan.
“Ini adalah lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkenaan 17 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh akan dilaksanakan esok menyebabkan ramai yang keliru.
“Untuk makluman, daerah Besut masih lagi dalam PKPD membabitkan 15 Mukim.
“Justeru JPBD ingin memaklumkan bahawa seluruh daerah Besut adalah tertakluk kepada SOP PKPD sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara SOP PKPD perlu dipatuhi penduduk di Besut adalah kebenaran bergerak untuk 10 kilometer (km) radius sahaja dari kediaman masing-masing bagi seorang wakil dari setiap rumah untuk membeli keperluan asas dan keperluan harian.
Aktiviti seperti kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan dan kiosk tidak dibenarkan beroperasi.
Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian hanya dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 7 malam.
Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi sehingga 7 malam. Pasar harian, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam tidak dibenarkan beroperasi.-BH