TNB catat keuntungan RM973 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan RM973.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat 32 peratus berbanding RM736.7 juta pada tahun sebelumnya.

-Advertisement-

Keuntungan yang lebih tinggi itu disebabkan pergerakan pasaran terutama tukaran mata wang asing yang menyaksikan kumpulan mencatatkan kerugian tukaran mata wang yang lebih rendah sebanyak RM56.8 juta berbanding RM388 juta tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatannya, menyusut 1.5 peratus kepada RM11.48 bilion berbanding RM11.65 bilion berikutan jualan elektrik yang lebih rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, dengan aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula, penguncupan dalam permintaan elektrik semakin mengecil daripada 12.9 peratus pada tahun kewangan 2020 kepada 0.3 peratus pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021.

Beliau berkata, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagaimanapun bertambah kepada 43.3 peratus pada suku pertama 2021 disebabkan penurunan 6.5 peratus dalam perbelanjaan operasi pada suku pertama tahun kewangan 2021 berikutan kos penjanaan yang lebih rendah akibat permintaan dan harga gas yang rendah.

“EBITDA yang tinggi juga disokong oleh perniagaan penjanaan yang mencatatkan prestasi hidro yang lebih baik berikutan musim tengkujuh pada suku itu.

“Kutipan juga meningkat dari Jun 2020 hingga Mac 2021 disebabkan kadar kecekapan kutipan yang meningkat daripada 91 peratus kepada 97 peratus berikutan kempen berterusan bagi menggalakkan dan memudahkan pembayaran menerusi pelbagai saluran pembayaran termasuk aplikasi myTNB,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, prestasi anak syarikat kumpulan kekal memuaskan pada suku pertama tahun ini, disokong oleh pelonggaran pada perintah kawalan pergerakan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan momentum itu akan berterusan memandangkan kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

-Advertisement-

Berkenaan aspirasi tenaga boleh diperbaharui (RE) TNB, Baharin berkata, kumpulan masih berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran RE 8.3 gigawatt menjelang 2025.

TNB memperoleh kapasiti penjanaan 85 megawatt daripada solar bumbung menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX, yang tersenarai pendek untuk melaksanakan satu lagi projek solar berskala besar (LSS) 50 megawatt di Bukit Selambau, Kedah dan akan membina empangan 300 megawatt Nenggiri di Kelantan, sebaik saja diluluskan Suruhanjaya Tenaga (ST), sekali gus akan membawa tambahan 300 megawatt kepada kapasiti terpasang hidro sedia ada iaitu 2,536.1 megawatt.

“Di peringkat antarabangsa, kerjasama kami di Singapura dan Vietnam mula membuahkan hasil, seterusnya meletakkan kami lebih hampir untuk memeterai perniagaan baharu di pasaran Asia Tenggara.

“Bagi komitmen kelestarian kami pula, TNB sedang mengatur Hala Tuju Kelestarian kami. Kami berharap untuk melakukan pengumuman penting mengenainya pada separuh kedua tahun ini, katanya.

Mengulas mengenai perbincangan Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) bersama ST, Baharin berkata, sesi libat urus dengan pihak berkenaan adalah positif setakat ini.

“Kami akan meneruskan usaha mendapatkan pulangan yang wajar dan berpatutan, memandangkan pelaburan daripada pulangan yang kecil mampu mendatangkan risiko kepada daya tahan rangkaian elektrik, menyebabkan kegagalan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa meningkat dan berubah serta mengganggu usaha peralihan tenaga Malaysia,” katanya.

Pada masa hadapan, Baharin berkata, TNB menjangkakan impak kekangan pergerakan tahun ini adalah tidak terlalu teruk berbanding tahun kewangan 2020 memandangkan kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi ketika PKP atau PKP Bersyarat.

“Namun, pendapatan entiti dikawal selia kami dijamin pada pertumbuhan permintaan atau berdasarkan 2.9 peratus pertumbuhan permintaan seperti yang ditetapkan oleh garis panduan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR),” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427