Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium di Desa Petaling di sini, yang dijadikan pusat panggilan hari ini.
Dalam serbuan pada 3.10 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu kondominium itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, polis menahan enam lelaki tempatan dan dua wanita tempatan berusia 18 hingga 40 tahun dalam serbuan itu.
Menurutnya, turut dirampas 10 set komputer riba, 18 telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit TP Link, sekeping kad akses, 22 keping kad sim.
“Hasil siasatan awal, sindiket ini dipercayai menjadi pusat panggilan untuk tujuan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian bagi pasaran tempatan.
“Premis itu disewa sejak April lalu dengan bayaran sewa RM3,000 sebulan, di mana setiap pekerja diberikan gaji RM2,000 sebulan oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saiful berkata, semua supek akan direman bagi membantu siasatan dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM60,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras agar orang ramai tidak terbabit dengan apa-apa kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan perjudian secara total di Kuala Lumpur,” katanya.-METRO