Public Bank catat untung bersih RM1.529 bilion

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM1.529 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat 15.1 peratus berbanding RM1.329 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

-Advertisement-

Pendapatan syarikat perbankan itu bagaimanapun menurun 8.9 peratus kepada RM5.03 bilion pada suku dikaji berbanding RM5.52 bilion pada suku sama tahun lalu.

Pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata bagi suku pertama tahun 2021, persekitaran operasi terus memberi cabaran memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikenakan bagi menangani peningkatan semula kes COVID-19.

Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran ini, ekonomi Malaysia perlahan-lahan meraih momentum, disokong oleh sentimen yang bertambah baik berikutan pemberian vaksin COVID-19 di seluruh dunia selain sokongan daripada pelaksanaan pelbagai dasar.

“Berikutan persekitaran ekonomi yang bertambah baik itu, Kumpulan Public Bank mencapai prestasi keuntungan yang lebih baik, dipacu oleh pengembangan dalam perniagaan pinjaman dan deposit, selain pertumbuhan pendapatan berasaskan fi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hong Piow berkata, dengan persekitaran kadar faedah yang rendah dan langkah penggalakan ekonomi, kumpulan mencatatkan peningkatan dalam kelulusan pinjaman perumahan, dengan kenaikan sebanyak 26.5 peratus pada suku pertama tahun 2021 berbanding dengan tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, katanya, promosi dan penyertaan proaktif kumpulan dalam pelbagai skim pembiayaan khas yang diperkenalkan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengatasi kesulitan kewangan mereka, terus menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman kumpulan.

-Advertisement-

“Dari segi pengambilan deposit, jumlah deposit pelanggan kumpulan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 2.9 peratus dan deposit pelanggan domestik mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.0 peratus.

“Deposit semasa dan simpanan yang rendah kosnya terus meningkat pada kadar kemajuan yang kukuh pada suku berkenaan dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 18.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 16.6 peratus pada suku pertama tahun 2021 berbanding tempoh sama tahun 2020, khususnya disokong oleh pertumbuhan kukuh yang dicapai dalam perniagaan unit amanah, pendapatan fi dan komisen serta pendapatan pembrokeran saham kumpulan.

“Pada suku dikaji, perniagaan unit amanah Kumpulan Public Bank yang diuruskan oleh subsidiari milik penuhnya, Public Mutual, kekal penyumbang terbesar bagi pendapatan bukan faedah kumpulan.

“Public Mutual mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada suku pertama 2021, dengan keuntungan sebelum cukainya berkembang sebanyak 33.6 peratus pada suku tahun ini berbanding dengan suku tahun sebelumnya kepada RM216.6 juta.

“Pada akhir bulan Mac 2021, Public Mutual terus menguasai pasaran runcit yang besar sebanyak 32.2 peratus dan menguruskan sejumlah 166 jenis dana unit amanah dengan nilai aset bersih berjumlah RM101.3 bilion,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427