Tumpat: Masih ada pengguna jalan raya dikesan mencuba nasib untuk merentas daerah dengan menunjukkan surat kebenaran lama kepada pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, alasan yang diberikan adalah tidak tahu keperluan mendapatkan surat kebenaran terbaharu selain terlupa.
“Majoritinya memberikan alasan tidak tahu perlu mendapatkan surat kebenaran baharu mengikut arahan semasa dan kami anggap ia disengajakan dan mencuba nasib.
“Bagaimanapun, polis tidak berkompromi dan segera mengarahkan mereka berpatah balik,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya (SJR) Pasir Pekan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Razi mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima sumbangan 6,000 keping pelitup muka dan 60 botol kurma daripada Persatuan Hai Yang Kelantan untuk petugas barisan hadapan.
Dalam perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 16 April lalu, Mohd Razi berkata, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan dengan kebanyakan kesalahan kerana tidak memakai pelitup muka.
Selain itu, masih ada juga premis yang tidak menyediakan penyukat suhu serta buku catatan pelanggan dan anggota sentiasa menjalankan operasi dalam usaha pematuhan kepada SOP.-METRO