Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melaksanakan pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 fasa dua secara berperingkat bermula hari ini hingga 12 Mei 2021 untuk pengkreditan akaun dan 17 Mei 2021 secara pembayaran tunai di cawangan BSN.
Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil berkata, bagi penerima pembayaran BPR 2021 fasa dua secara tunai, mereka dinasihatkan merancang waktu kunjungan ke cawangan BSN dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pembayaran BPR 2021 fasa dua melalui pengkreditan akaun akan dilakukan berdasarkan maklumat penerima yang telah dikemukakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada BSN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, bagi pembayaran secara tunai pula, penerima perlu membawa kad pengenalan ketika hadir ke cawangan BSN.
Hanya wakil yang didaftarkan sahaja yang dibenarkan mewakilkan penerima bagi penunaian BPR 2021.
Penerima BPR dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang LHDNM atau menghubungi LHDNM Hotline BPR melalui talian 1-800-88-2747 sebelum hadir di mana-mana cawangan BSN.-METRO