Johor benar bazar Ramadan, Aidilfitri di kawasan PKP diteruskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Johor Bahru: Kerajaan Johor membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan negeri ini, diteruskan dengan prosedur standard operasi (SOP) ketat.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas perbincangan lanjut dilakukan.

“Kerajaan Johor memutuskan bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk tiga daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi yang bermula esok dibenarkan untuk diteruskan.

“Pengoperasian bazar Ramadan bagi tiga daerah berkenaan dibenarkan dari jam 3 petang hingga 8 malam dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

“Sementara, bazar Aidilfitri dibenarkan dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan pelaksanaan SOP ketat,” katanya, hari ini.

-Advertisement-

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP dilaksanakan di tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi berkuat kuasa esok ini hingga 20 Mei.

Beliau dipetik berkata, penguatkuasaan PKP bagi tempoh sama turut dilakukan di 14 Mukim dalam daerah Besut kecuali Mukim Hulu Besut di Terengganu.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah di negeri ini yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berjalan seperti sebelum ini.

“Ia dibenarkan dari jam 3 petang hingga 8 malam dengan pelaksanaan SOP ketat, manakala bazar Aidilfitri adalah dibenarkan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perubahan, pindaan atau keputusan terkini kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427