Bazar Ramadan di enam daerah PKP ditutup mulai Sabtu

Estimate Reading Time: < 1 minute

Shah Alam: Semua bazar Ramadan di enam daerah di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dibenarkan beroperasi bermula Sabtu ini.

-Advertisement-

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini memberi masa kepada peniaga untuk menguruskan stok yang masih berbaki.

“Saya rasa kita tidak kejam untuk menutup operasi bazar Ramadan (serta-merta) yang mana peniaga sudah diberi masa berniaga selama 25 hari sebelum keputusan penutupan dibuat.

“Kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk memberikan bantuan RM500 kepada 11,000 peniaga bazar Ramadan yang terjejas susulan penutupan yang diumumkan hari ini.

“Pemberian bantuan itu akan membabitkan peruntukan kira-kira RM5 juta dan dijangka akan mula diagihkan selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, hari ini.

-Advertisement-

Bagaimanapun menurutnya, bazar Aidilfitri serta pasar malam dibenarkan beroperasi dengan syarat yang ketat yang sudah ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah operasi perniagaan adalah sehingga jam 10 malam saja, jumlah pengunjung perlu mengikut saiz premis.

“Kita juga sudah berbincang dengan polis, sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), bazar berkenaan akan diarahkan tutup serta-merta.

“Selain itu, pengunjung juga dilarang membawa kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta pemilik atau pengusaha bazar diminta untuk menggunakan sistem nombor giliran,” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427