Kuala Lumpur: Perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini berhubung skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rayuan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan kerana seorang daripada peguam utamanya sedang menjalani kuarantin Covid-19.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee melalui mesej WhatsApp kepada wartawan hari ini.
“Kedua-dua kes (SRC dan 1MDB) terpaksa dilapangkan minggu ini kerana seorang daripada peguam utama pasukan kami menjalani ujian dan kuarantin kerana kontak rapat kepada beberapa pesakit Covid-19 yang disahkan.
Hari ini, pihak pembelaan sepatutnya memeriksa balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga saksi pendakwaan ke-10.
Beliau sudah memberi keterangan sejak September tahun lalu.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bagi kes SRC, Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.
Pendengaran rayuannya dalam kes SRC ditetapkan untuk bersambung pada Khamis ini.-METRO