KUALA PERLIS – Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Perlis berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 390 botol ubat batuk melalui pangkalan haram di sini, awal pagi Ahad.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Said berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan setelah pasukan operasi menahan sebuah bot kayu tidak bernombor ketika berada di hadapan Jeti Kastam Kuala Perlis.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan sekitar 12.30 malam itu bagaimanapun gagal menahan tekong bot tersebut yang bertindak memecut laju ke daratan dan melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan terdapat empat bungkusan plastik hitam mengandungi 390 botol putih bertulis ‘Dynadril’ yang di dalamnya terdapat cecair hitam dipercayai ubat batuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Rohizan berkata, kesemua rampasan dibawa balik ke Martek PPM Kuala Perlis dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut.
“Kami mengesyaki ubat batuk tersebut dibawa masuk bagi memenuhi permintaan pasaran untuk perbuatan salah,” katanya. Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot kayu mencecah RM10,000 dan kes disiasat bawah Akta Racun 1952.-SINAR