KUALA LUMPUR: Jika saingan Liga Super adalah sebuah padang rumput yang luas, tidak sukar untuk kita melihat bentuk rantaian makanan yang bakal disajikan – siapa yang yang bakal mengejar dan siapa yang menjadi santapan.
Untuk membawa konteks ini ke dalam aksi membabitkan KL City FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, sudah tentu kita sudah tahu siapa yang menjadi pemangsa dan siapa pula yang bakal menjadi mangsa.
Dengan skuad bimbingan Benjamin Mora itu dikejutkan dengan kekalahan pertama dalam tempoh 21 bulan itu, KL City bakal menjadi ‘kemusnahan sampingan’ susulan keputusan yang dihadiahkan oleh Terengganu FC (TFC) pada minggu lalu itu.
‘All bell breaks loose’ – atau pandemonium – mungkin menjadi situasi yang boleh menjadi gambaran khususnya kepada skuad Harimau Selatan yang masih terluka dengan keputusan terbabit yang juga menjadi kali ketiga mereka keciciran mata pada musim ini.
Jika dinilai berdasarkan prestasi sebelum ini, JDT keciciran mata dua kali berturut-turut di tangan Selangor FC (SFC) dan Perak FC, namun apa yang terjadi selepas itu membuktikan mengapa mereka bergelar juara Liga Super tujuh kali berturut turut.
Mereka memperagakan kebangkitan dengan empat kemenangan berturut-turut dengan meledak 12 gol dan hanya dibolosi satu gol sebelum rentak mereka disekat skuad Penyu pada minggu lalu.
Kalau kerana seri dua perlawanan pun, mereka sudah bangkit penuh bergaya seperti ini, apatah lagi selepas reputasi mereka tercalar dengan kekalahan minggu lalu?
Justeru, JDT mempunyai banyak sebab untuk menang pada aksi malam ini kerana tidak hanya berkisar mengenai cerita kebangkitan atau pun mengutip mata penuh – mereka perlukan tiga mata itu kerana ketika ini hanya berkelebihan dua mata di puncak liga.
Buat KL City FC, mereka patut menerima realiti yang mereka tampil sebagai pasukan kedua terbaik bagi aksi ini dan bertemu ‘harimau terluka’, jelas ini bukanlah satu aksi yang diinginkan oleh pasukan yang ketika ini menghuni tangga ketujuh.
Namun bola sepak adalah satu drama di atas padang di mana kita tidak boleh meramal apa kemungkinan yang berlaku dan kejutan adalah satu aspek yang sentiasa dinanti nantikan.
Mungkin JDT adalah juara bertahan dan memiliki segala-galanya tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh dikecewakan – lihat sahaja apa yang dilakukan SFC, Perak FC dan TFC sebelum ini.
SFC berjaya melakukannya dengan Ifedayo Olusegun, Perak FC dengan Guilherme de Paula sementara TFC dengan Hakimi Abdullah, KL City FC pula ada Paulo Josue untuk memainkan ‘watak’ ini.
Bak kata penulis karya ‘Memoirs of Geisha’, Arthur Golden yang berkata ‘harimau terluka adalah haiwan yang berbahaya’, jadi sama ada KL City memiliki ‘ubat pelali’ untuk menumbangkan lawan, kita tunggu malam ini.-BH