SHAH ALAM: Penutupan 79 sekolah di Selangor susulan pengesanan jangkitan COVID-19 adalah mengikut format ditetapkan, berbanding penutupan 19 sekolah terdahulu yang tidak mengikut saluran sewajarnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan penutupan sekolah itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Kita sudah tetapkan formatnya dan ada persefahaman antara Pusat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Itu yang penting kerana kuasa menutup sekolah berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus memberikan kelulusan.
“Selepas PKD memaklumkan dan jabatan kesihatan berasakan kes itu wajar ditutup, kita tutup kerana kata putus kepada seluruh sekolah terletak di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hasil Suri Selangor Hybrid 2021 dan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau diminta mengesahkan satu senarai edaran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang tular berhubung 79 sekolah ditutup hari ini dan esok akibat pengesanan jangkitan COVID-19.
Amirudin berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri terkini memutuskan aspek berkaitan penutupan sekolah harus diputuskan oleh PPD manakala kerajaan negeri akan melaksanakan tindakan susulan termasuk saringan.
“Saringan akan dimulakan dalam masa terdekat dengan diuruskan pihak EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud, manakala aktiviti lain seperti melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diputuskan di peringkat pusat,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang wajar membuat pengumuman berhubung penutupan 79 sekolah itu adalah Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kalau saya sahkan atau tidak sahkan itu tidak betul juga sebab akhirnya kementerian yang akan memberi pengesahan penutupan sekolah ini.
“Negeri tidak boleh senang-senang umumkan kita tutup (sekolah) walaupun boleh tetapi bidang kuasanya tidak kena kecuali memang betul-betul teruk,” katanya.
Beliau berkata, saringan akan difokuskan kepada kawasan sasaran yang mempunyai jumlah kes tinggi.
Katanya, isu paling besar ialah jangkitan dalam kalangan murid, namun data menunjukkan kadar kemampuan bertahan golongan itu adalah lebih tinggi berbanding warga emas dan individu berpenyakit.
“Guru, pekerja sekolah, pekerja kantin dan warga emas mungkin tergolong dalam kumpulan ada penyakit serius, maka sasaran saringan kita adalah komuniti.
“Saringan untuk semua murid berada di luar kemampuan kita dan biarkan diputuskan oleh Jabatan Pendidikan jika dirasa perlu kerana di Selangor ada kira-kira sejuta pelajar,” katanya.-BH