Remaja wanita mengaku salah cederakan, rosakkan motosikal anggota polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGI: Seorang remaja wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas dua tuduhan bersubahat dengan teman lelakinya mencederakan dan merosakkan motosikal milik seorang anggota polis, bulan lalu.

-Advertisement-

Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret hari ini.

Mengikut pertuduhan, Umiezatul Asyikin didakwa bersubahat dengan Muhammad Asraf Zulkefli, 19, menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Amirul Yahya, seorang penjawat awam yang menjalankan kewajipan di tempat letak kereta di sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi, jam 10.30 malam, pada 9 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa bersubahat dengan Muhammad Asraf melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan hendal motosikal, ekzos, sport rim dan nombor pendaftaran belakang motosikal Mohamad Amirul sehingga kerugian RM1,060 di tempat dan masa yang sama.

-Advertisement-

Pertuduhan kedua pula mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pada 12 Mac lalu, Umiezatul Asyikin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu, manakala Muhammad Asraf mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan motosikal milik anggota polis terbabit.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Mazuri Mohd Nazir memohon tarikh sebutan baharu bagi menunggu laporan perubatan berhubung kecederaan dialami mangsa dalam kes itu, Mohamad Amirul serta laporan akhlak kedua-dua remaja dari Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mereka berusia di bawah 21 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei ini untuk tarikh menjatuhkan hukuman pasangan berkenaan. Mereka diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

Sebelum ini, tular di media sosial video rakaman orang awam menunjukkan detik cemas apabila seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter selepas pemandu kereta bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan dalam kejadian di Bandar Baru Bangi. – BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427