Ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih antara 6.0-7.5 peratus tahun ini, kata Gabenor BNM

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020, disokong oleh faktor-faktor domestik seperti penggunaan dan persekitaran luaran yang lebih baik berikutan pelancaran program vaksinasi.

Selain inokulasi, tindakan pencegahan yang longgar dan COVID-19, peningkatan secara berperingkat situasi tenaga buruh negara, sokongan dasar yang berterusan untuk isi rumah dan perniagaan serta permintaan luaran yang semakin baik di tengah-tengah perkembangan teknologi akan memacu pemulihan ekonomi.

-Advertisement-

“Ekonomi Malaysia akan pulih kembali pada tahun 2021 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai tahap sebelum COVID-19 menjelang pertengahan 2021,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sesi taklimat bersama editor pada Selasa.

Sektor pembinaan dijangka meningkat 13.4 peratus pada 2021 berbanding -19.4 peratus pada 2020, sektor perkhidmatan berkembang 6.6 peratus pada 2021 (-5.5 pada 2020) sementara sektor pembuatan lebih tinggi sebanyak 8.8 peratus pada 2021 (-2.6  peratus pada 2020).

Sektor pembuatan pula meningkat 8.8 peratus pada 2021 (-2.6 peratus pada 2020) sementara sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menokok 4.2 peratus pada 2021 daripada -2.2 peratus pada 2020.

“Dan dalam unjuran kami, kami mengandaikan imuniti kawanan akan hanya dicapai pada suku pertama 2022.

“Kami turut mengandaikan sempadan antarabangsa akan terus ditutup tahun ini dan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan lebih bersasar,” katanya.

Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan dunia bagi tahun 2021 sebanyak 0.3 mata kepada 5.5 peratus.

Ekonomi Malaysia menyusut 3.4 peratus pada suku keempat 2020 berikutan kemunculan semula COVID-19, menjadikan penguncupan sepanjang tahun kepada 5.6 peratus.

Nor Shamsiah berkata potensi peningkatan kepada unjuran KDNK termasuk kemungkinan adanya permintaan di tengah-tengah simpanan tinggi yang dilihat di negara ini.

“Kami juga tidak mengambilkira bahawa kerajaan telah mempercepatkan sasaran inokulasi yang mana kerajaan kini menyasarkan imuniti kawanan akan dicapai pada akhir tahun ini,” kata beliau.

Sementara itu, risiko penurunan adalah sekatan pergerakan secara meluas bagi mengekang penularan dan program vaksinasi yang lebih perlahan daripada jangkaan, kata beliau sambil menegaskan secara keseluruhannya “vaksinasi adalah kunci utamanya”.

“Pelancaran vaksin sangat penting untuk pemulihan ekonomi kerana krisis semasa adalah krisis kesihatan,” katanya.

Oleh itu, Nor Shamsiah berkata pelancaran vaksin di Malaysia secara berfasa yang dimulakan pada akhir Februari akan membantu pertumbuhan kerana ia menyokong pemulihan dalam pekerjaan dan pendapatan dengan meningkatkan sentimen pengguna serta memudahkan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur untuk kembali kepada normal.

Seiring dengan itu, ekonomi global juga telah bersedia untuk bangkit semula tahun ini dan berkembang sebanyak 5.5 peratus selepas kemerosotan teruk dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan pada tahun 2020.

-Advertisement-

“Kegiatan ekonomi global akan didorong oleh pelancaran vaksin dan sokongan dasar yang berterusan, terdiri daripada rangsangan fiskal dan monetari yang besar bagi menangani kesan pandemik terhadap pertumbuhan.

“Krisis kesihatan global mencetuskan kemerosotan ekonomi yang besar pada tahun 2020 yang menyebabkan permintaan menjadi lemah dan pengeluaran terjejas di tengah-tengah langkah pembendungan yang meluas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Shamsiah berkata penggunaan swasta domestik akan menerajui pertumbuhan pada tahun 2021 berikutan sekatan pergerakan yang longgar dan peningkatan sentimen secara berperingkat dalam persekitaran pelancaran vaksin serta pertumbuhan pendapatan yang berterusan, disokong oleh aktiviti ekonomi yang kian meningkat.

Begitu juga dengan aktiviti pelaburan yang akan pulih, didorong oleh keadaan permintaan yang lebih baik dan inisiatif kerajaan yang mencetuskan pemulihan dalam perbelanjaan modal di kedua-dua sektor swasta dan awam.

Beliau menambah aktiviti itu juga akan disokong oleh peningkatan secara beransur-ansur dalam pelaburan asing dan domestik berikutan permintaan luaran yang lebih baik berserta peningkatan teknologi.

Dalam pada itu, pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM91.3 bilion pada tahun 2020 berbanding RM82.7 bilion pada tahun 2019 dengan kesinambungan projek infrastruktur pengangkutan seperti  laluan Rel Pantai Timur (ERCL), Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan Transit Aliran Ringan 3.

Yang lain termasuk penambahbaikan dalam infrastruktur digital dan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan seperti lanjutan insentif penempatan semula, penubuhan pusat sehenti untuk memudahkan kemasukan pelancong perniagaan dan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek.

Nor Shamsiah berkata sistem kewangan tetap berdaya tahan dan baik untuk menyokong perantaraan kewangan, sementara institusi kewangan terus mengekalkan penampan modal yang kukuh dengan kecairan yang sihat untuk menyokong aktiviti perantaraan.

Di pasaran tenaga kerja pula, beliau berkata bank pusat menjangkakan pemulihan dalam sektor pekerjaan dan pengangguran selepas menyaksikan tanda-tanda menggalakkan bagi pengambilan pekerja berterusan.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427