LANGKAWI, 30 Mac — Langkawi yang popular sebagai destinasi pelancongan terus menarik minat ramai pelabur yang berhasrat menanam modal di pulau peranginan itu biarpun negara masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun ketika ini jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi sangat rendah, namun pelabur optimistik dengan masa depan industri pelancongan pulau legenda itu
“Banyak orang yang berminat untuk melabur di Langkawi walaupun waktu ini tidak ada pelancong, mereka (pelabur) mempunyai harapan besar untuk masa hadapan.
“Jadi pihak berkuasa yang (bertanggungjawab) untuk meluluskan pelaburan ini patutlah memberi pertimbangan yang cepat kepada mereka supaya apabila Langkawi ini sudah boleh terima ramai pelancong, kita telah bersedia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pantai Chenang di sini, hari ini.
Dr Mahathir menjelaskan ada antara mereka merancang untuk membuka hotel dan pusat membeli belah termasuk ‘factory outlet’, namun semuanya belum dapat direalisasikan ketika ini. -BERNAMA