Lotte Chemical Titan optimis mengenai prospek pertumbuhan susulan pelaksanaan vaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) dijangka kekal fokus untuk mengembangkan kapasiti polietilena dan produk derivatif berasaskan etilena nilai tambah lain pada tahun ini, dalam keadaan pandemik yang berlaku.

-Advertisement-

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata ramalan pertumbuhan syarikat yang meningkat susulan pelaksanaan vaksin COVID-19 telah menyebabkan unjuran perniagaan bertambah baik dan sentimen ekonomi yang lebih positif di seluruh dunia.

“Strategi pertumbuhan terfokus serta usaha gigih kami akan mengekalkan LCT dalam perjalanan pertumbuhan untuk terus mencipta nilai kepada pemegang saham dan pelabur kami,” katanya dalam laporan tahunan syarikat yang dikeluarkan hari ini.

Sebagai pengeluar olefin dan poliofelin bersepadu terbesar di Malaysia, beliau berkata syarikat itu berhasrat mengekalkan usaha strategiknya untuk mewujudkan pengembangan pada masa depan seperti projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) berskala besar bernilai US$4.4 bilion (US$1=RM4.15) menerusi anak syarikatnya PT Lotte Chemical Indonesia.

-Advertisement-

Projek LINE yang dijangka siap pada 2023 bermatlamat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat dan merealisasikan visi LCT untuk menjadi syarikat petrokimia terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2024, kata Abdul Rahman.

Projek usaha sama bernilai RM18 bilion di antara LCT dengan Lotte Chemical Corp, Korea Selatan itu dijangka membangunkan pemecah nafta sebanyak sejuta tan setahun dan kemudahan hiliran lain yang berkaitan di Merak, Cilegon, Wilayah Banten, Indonesia.

Sementara itu, operasi dan kewangan LCT yang berdaya tahan telah mencatatkan lembaran imbangan yang kukuh dan baik dengan kedudukan tunai bersih menghampiri RM4.2 bilion sehingga akhir tahun kewangan 2020.

“Kami mengharungi pelbagai impak pandemik COVID-19 untuk menjana aliran tunai operasi yang positif sebanyak RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2020,” katanya.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427