KUALA LUMPUR, 25 Mac — Maxis Bhd melabur dan memberi lebih penekanan untuk meningkatkan sambungan rangkaian selular jalur lebar generasi keempat (4G) di kawasan luar bandar tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Gokhan Ogut berkata Maxis telah melabur sekitar RM1.25 bilion perbelanjaan modal (capex) tahun lalu dengan sebahagian besar digunakan untuk peningkatan rangkaian.
“Tahun ini, kami akan terus melabur dalam capex untuk tujuan meningkatkan rangkaian 4G yang kami miliki, ia meliputi kawasan liputan baru terutama di kawasan luar bandar.
“Ini adalah salah satu bahagian yang akan kita akan mempercepatkan di sebalik pelaburan ‘Universal Service Provision’, ” katanya pada program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Enabling the Nation to Always Be Ahead”, hari ini.
Di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program ‘Universal Service Provision’ disasarkan untuk menyediakan akses komunikasi ke kawasan tiada liputan, kawasan tempatan dan kumpulan dalam komuniti.
Gokhan juga percepatan rangkaian 4G sangat penting untuk menyokong penggunaan internet yang meningkat di Malaysia kerana COVID-19 mendorong lebih ramai orang untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.
Ditanya kenapa rangkaian 4G masih penting walaupun Malaysia beralih kepada teknologi 5G, beliau berkata: “5G adalah matlamat akhir tetapi ia akan memerlukan masa untuk dilancarkan dan bagi semua rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi terbaharu itu.
“Kami mempunyai tempoh 10 tahun lagi untuk meneruskan rangkaian 4G,” katanya.
Tahun lepas, setiap pelanggan Maxis menggunakan sekitar 20 gigabait data pada setiap bulan, 39 peratus lebih tinggi daripada tahun 2019.
Semua penyedia telekomunikasi bekerjasama untuk mencapai matlamat yang ditetapkan di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menamatkan rangkaian 3G pada akhir tahun ini, memperluaskan liputan 4G serta berusaha untuk membawa 5G ke dalam Malaysia.
“Maxis sudah bersedia untuk kesinambungan pelaburan di Malaysia seperti yang telah kita lakukan sejak 25 tahun lepas,” katanya.
— BERNAMA