MELAKA, 25 Mac — Seramai 450 pelajar sekolah rendah yang kurang berkemampuan di Melaka menerima sumbangan kelengkapan sekolah dan kit penjagaan kebersihan menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2021 (BTS 2021) anjuran Yayasan Petronas bersama Petronas Wilayah Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah dalam satu kenyataan di sini memaklumkan barangan yang diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri pada 18 Mac lepas itu telah diedarkan secara berperingkat kepada pelajar dari 46 sekolah di sini.
“Matlamat kami untuk BTS 2021 sentiasa konsisten sejak program ini dimulakan 18 tahun yang lalu. Kami ingin mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh keluarga yang kurang bernasib baik pada setiap awal tahun persekolahan, iaitu kos kelengkapan persekolahan,” katanya.
Melalui sumbangan itu setiap pelajar menerima dua pelitup muka guna semula, tuala kecil, satu kotak sabun kertas, beg sekolah, botol air, buku nota aktiviti pelajar, bekas pensel bersama alat tulis, serta dua set pakaian seragam sekolah dan sepasang stoking dan kasut.
Mereka turut menerima buku nota aktiviti pelajar merangkumi beberapa eksperimen sains mudah mengenai kebersihan diri, infografik kesihatan dan pelekat, direka untuk membantu pelajar memahami sains dan aplikasinya dalam kehidupan sebenar.
Nelly berkata Yayasan Petronas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan turut menyediakan rancangan pengajaran khas buat para guru untuk mempromosikan sains kebersihan diri di kalangan pelajar sekolah rendah yang menerima bantuan.
Di samping itu juga katanya, Yayasan Petronas turut mengeluarkan video-video mengenai sains kebersihan diri yang menampilkan ‘STEM Man’.
“Ini sebagai cara mengingatkan ibu bapa, anak-anak dan masyarakat tentang pentingnya mengamalkan tabiat kebersihan yang baik untuk meminimumkan risiko jangkitan wabak di sekolah. Video boleh didapati di saluran media sosial dan dalam talian Yayasan Petronas,” katanya.
Sementara itu Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata pihaknya gembira dapat memainkan peranan dalam persiapan para pelajar untuk kembali ke sekolah.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka bagi memulakan tahun persekolahan di tengah-tengah pandemik ini,” katanya.
— BERNAMA