WASHINGTON, 23 Mac — Sepuluh orang, termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah kedai runcit di Boulder, Colorado pada Isnin, lapor Sputnik memetik polis tempatan.
“Terdapat sepuluh kematian di tempat kejadian, termasuk seorang pegawai Jabatan Polis Boulder bernama Eric Talley, yang telah bertugas di Jabatan Polis Boulder sejak 2010,” kata Ketua Polis Boulder Maris Herold kepada wartawan pada malam Isnin.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa ‘kejadian ngeri’ di kedai runcit King Soopers itu dan memuji ‘tindakan berani’ Eric Talley, 51.
“Pegawai Tally segera ke tempat kejadian, beliau anggota pertama tiba di situ, dan ditembak mati,” kata Herold.
Menurut polis, siasatan akan mengambil masa tidak kurang lima hari untuk diselesaikan.
Peguam Daerah Boulder Michael Dougherty mengesahkan penembak itu telah ditahan dan kesal dengan kejadian menimpa mangsa, berjanji untuk “mendapatkan keadilan.”
Terdahulu pada Isnin, Komander Polis Boulder Kerry Yamaguchi dalam taklimat media berkata ramai mangsa maut dalam kejadian itu, termasuk seorang pegawai polis.
Lelaki bersenjata itu satu-satunya yang mengalami kecederaan. Tiada ancaman awam berterusan dan motif kejadian masih disiasat.
Menurut jurucakap Rumah Putih Jen Psaki, Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai kejadian itu. -BERNAMA