PADANG BESAR, 23 Mac — Kehilangan rakan sepasukan yang terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan penyeludup di sempadan negara pada November tahun lepas, tidak menggugat semangat Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kembali ditugaskan di kawasan terbabit.
Pegawai Pemerintah Supt Rosman Kasman berkata sekalipun kejadian itu meninggalkan kesan kepada anggotanya, mereka tetap bersemangat untuk meneruskan tugas dan langsung tidak menunjukkan rasa takut.
“Saya bangga dengan keberanian dan semangat tidak gentar anggota saya, langsung tidak ada rasa fobia,” katanya ketika ditemui Bernama di Pos TS9 di sini, yang juga lokasi insiden yang mengorbankan Sjn Baharuddin Ramli.
Menurut Rosman, walaupun pasukan itu kehilangan antara anggota terbaik, tempat mendiang digantikan anak didiknya sendiri yang berikrar mencontohi semangat juang Baharuddin.
Beliau bagaimanapun mengakui terasa “kehilangan” mendiang Baharuddin.
“Kami masih terbayang-bayang kelibat mendiang yang cukup teliti dan cekap dalam mengesan jejak penceroboh setiap kali melakukan tugasan rondaan,” katanya, menambah secara peribadi beliau merindui masakan mendiang.
“Masakan paling saya rindu ialah sup ayam daun kemomok yang merupakan hidangan istimewa Orang Asli yang pernah dimasak oleh mendiang,” kata Rosman.
Pada 24 Nov lepas, Baharuddin, 54, yang pada ketika itu berpangkat Koperal (Kpl), terkorban manakala rakannya Kpl Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan TS9.
Sebagai menghargai jasa mereka, kedua-duanya dinaikkan pangkat Sarjan (Sjn). Susulan itu juga pasukan keselamatan melancarkan gerakan memburu kumpulan penyeludup terbabit yang menyaksikan 15 individu merangkumi warga tempatan dan rakyat Thailand ditangkap.
Mengulas lanjut, Rosman berkata penugasan pasukannya di bawah Op COVID Wawasan Sempadan Kedah-Perlis itu akan berakhir pada 1 April ini.
Batalion 3 PGA itu berpangkalan di Bidor, Perak.
Sebahagian besar anggota PGA yang turut dikenali sebagai Senoi Praaq merupakan Orang Asli.
— BERNAMA