Insentif PEMERKASA langkah baik tarik pekerja tempatan – MPOB

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Peruntukan sebanyak RM50 juta untuk industri sawit dalam pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dapat meningkatkan lagi usaha sektor itu menarik lebih ramai pekerja tempatan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi manakala RM20 juta untuk pembelian jentera yang dapat membantu memacu industri ke arah mekanisasi.

-Advertisement-

“Diharapkan apabila kita ke arah mekanisasi, ia kurang kotor dan kurang bahaya serta mungkin pada masa itu, kita dapat menarik lebih ramai penduduk tempatan terutamanya golongan muda.

“Geran ini boleh digunakan untuk membeli lebih banyak traktor bagi mengutip tandan buah sawit dan seterusnya mengurangkan kaedah penuaian oleh manusia. Saya berharap ia akan menjadi sesuatu yang baik kepada penduduk tempatan,” katanya kepada Bernama.

-Advertisement-

Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan PEMERKASA pada Rabu berkata kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit.

Perdana Menteri berkata satu lagi geran padanan sebanyak RM20 juta akan turut diperuntukkan untuk pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan yang akan memberi manfaat kepada 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil,

Terutamanya bagi koperasi, Ahmad Parveez berkata mereka juga boleh menggunakan geran itu untuk membeli pemotong sawit bermotor MPOB atau ‘cantas’ yang diperkenalkan oleh Lembaga Pengarah pada 2007.

“Kami mempunyai 65 koperasi yang terlibat dalam penanaman sawit mampan untuk seluruh negara, justeru, kami berharap dengan geran padanan ini, ia dapat meningkatkan kemudahan mereka dan membolehkan mekanisasi untuk memuat dan memunggah tandan buah sawit. Secara kasarnya, seluruh tandan buah yang masak boleh mencapai berat kira-kira 30 kg.

“Secara tidak langsung, anda menyokong koperasi ini dan mereka dapat menjana lebih banyak wang dan pada masa sama mereka dapat menyokong pekebun kecil yang menjadi ahlinya,” katanya.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata dengan harga semasa minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi iaitu diniagakan melebihi RM4,000 satu tan, insentif itu merupakan faedah tambahan kepada industri perladangan.

“Sektor perladangan dijangka menggunakan lebih banyak baja pada tahun ini dan ia merupakan berita baik terutamanya kepada 6,000 pekebun kecil,” katanya.

Oleh itu, Sathia berpendapat, RM30 juta mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja berikutan inisiatif sedemikian akan mengambil masa.

“Secara jujurnya, RM30 juta adalah kecil untuk industri yang bernilai RM75 bilion,” katanya.

PEMERKASA yang bernilai RM20 bilion adalah pakej bantuan keenam yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk terus menyokong proses pemulihan ekonomi negara, bersama dengan suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion.

Pakej ini memberi tumpuan kepada 20 inisiatif strategik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terjejas.

Pakej lain yang diperkenalkan sebelum ini ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, pakej PRIHATIN untuk perusahaan kecil dan sederhana (RM10 bilion), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara di bawah PENJANA (RM35 bilion), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (RM10 bilion) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (RM15 bilion).

Dengan pelancaran PEMERKASA (RM20 bilion), jumlah nilai pakej bantuan adalah RM340 bilion.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427