Pengarah Kreatif Olimpik Tokyo letak jawatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO: Pengarah Kreatif Olimpik Tokyo mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap pelawak Jepun.

-Advertisement-

Hiroshi Sasaki mengumumkan pendirian itu susulan laporan semalam, mendedahkan cadangan beliau kepada pengurusan acara sukan bertaraf antarabangsa itu supaya penghibur berbadan gempal, Naomi Watanabe muncul sebagai khinzir pada upacara pembukaan.

Sasaki yang kesal dengan kenyataan itu mengakui ia suatu penghinaan kepada pelawak Jepun berkenaan dan tidak dapat ditarik balik.

“Jauh di lubuk hati saya sangat kesal dengan perkara ini dan saya memohon maaf kepada beliau dan semua yang terkesan dengan kenyataan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sasaki berkata, keputusan peletakan jawatannya sudah dimaklumkan kepada Ketua Olimpik Tokyo, Seiko Hashimoto, lewat petang semalam.

-Advertisement-

Sehubungan itu, katanya, surat rasmi berhubung keputusan berkenaan akan diberikan kepada pengurusan tertinggi.

Tokyo 2020 sudah merancang untuk mengadakan sidang media, hari ini bagi merungkai isu itu.

Majalah tempatan sebelum ini melaporkan cadangan Sasaki supaya Watanabe muncul sebagai ‘Olympig’ dengan memakai telinga khinzir pada upacara pembukaan dibuat pada tahun lalu.

Cadangan yang diketengahkan menerusi perbualan berkumpulan itu terus ditolak rakan sejawatan Sasaki dengan menyifatkan ia sebagai tidak sesuai.

Sasaki dilantik menyandang jawatan Pengarah Kreatif bagi upacara pembukaan dan penutupan Olimpik Tokyo pada Disember tahun lalu. – AFP-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427