KUALA LUMPUR, 16 Mac — Volcano Bhd, pengeluar antarabangsa bagi plat nama dan bahagian acuan suntikan plastik berusaha untuk meraih RM8.75 juta daripada tawaran awam awalnya (IPO).
Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan kumpulan itu akan menggunakan RM5.55 juta daripada hasil pembelian jentera dan peralatan, manakala RM3.20 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Syarikat itu melancarkan prospektusnya hari ini bagi langkah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, melibatkan terbitan awam sebanyak 25 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 35 juta saham pada harga terbitan 35 sen sesaham.
Pengarah Urusan Volcano Datuk Ch’ng Huat Seng berkata hasil itu akan digunakan untuk membeli mesin pemotongan laser dan ‘pick-and-paste’ bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan proses pengeluaran plat nama.
“Kami berhasrat membeli mesin pengacuan suntikan plastik tambahan untuk memperluaskan perniagaan pembuatan bahagian acuan suntikan plastik.
“Selain pembelian jentera dan peralatan, kami turut berusaha untuk memperluaskan kilang kami di Rayong, Thailand memandangkan kami berhasrat mengembangkan kehadiran kami dalam industri elektrik dan elektronik dan automotif di negara ini,” katanya.
Pasaran utama Volcano adalah Singapura dan Thailand dengan pasaran asing menyumbang lebih 95 peratus daripada perolehan keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020.
TA Securities Holdings Bhd adalah penasihat prinsipal kepada Volcano, ejen penempatan tunggal, penaja jamin tunggal dan penaja berkaitan dengan IPO.
— BERNAMA