KUALA LUMPUR, 15 Mac — Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjalinkan kerjasama erat dengan semua rakan industri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memulakan pelayaran domestik dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan.
Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan sedang berbincang mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pelayaran domestik bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“MATTA mengakui potensi besar industri pelayaran yang memberi manfaat bukan hanya kepada agensi pelancongan tetapi juga hotel, sektor penerbangan, taman tema, tarikan, peruncitan dan banyak industri lain berkaitan pelancongan.
“Sebuah kapal, seperti Costa Venezia, dengan kapasiti 5,000 penumpang dapat menjana pendapatan hingga RM60 juta. Di samping itu, pelayaran domestik dalam tempoh sukar ini berpotensi menjana peluang pekerjaan segera terutama di bandar-bandar pelabuhan seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat MATTA Nigel Wong berkata kerjasama dengan kementerian berkaitan sudah lama terjalin dan bukan ketika melaksanakan pelayaran domestik sebagai penyelesaian segera ketika waktu sukar tetapi turut memberi manfaat agar Malaysia dikenali sebagai destinasi pelabuhan hab awal atau akhir pelayaran.
“Kita telah mempunyai infrastruktur dan tenaga kerja untuk berkhidmat dalam sektor pesat membangun dan menguntungkan ini — manfaat jangka panjang amat besar dengan memiliki status pelabuhan hab awal atau akhir pelayaran sejak Malaysia diiktiraf sebagai destinasi moden, progresif dan mesra umat Islam,” katanya.