Kerajaan himpun data lebih tepat tumpu bantuan kepada kumpulan sasar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Kerajaan sedang menghimpunkan data lebih terperinci untuk membuat anggaran yang lebih baik mengenai rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 dalam usaha menangani masalah kemiskinan.

-Advertisement-

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sedang bekerjasama bagi mendapatkan data tepat yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sudah tiba masa bagi kerajaan melihat semula perkara ini, dan bantuan seharusnya mencapai sasaran. Dengan mengetahui maklumat lebih terperinci seperti pendapatan, sektor kerja, dan jenis pekerjaan; kerajaan akan dapat memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Noor Azlan yang juga pakar ekonomi berkata sementara itu kerajaan sedang menjalankan banyak program meningkatkan dan membina kemahiran di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HDRF) bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik itu, termasuk memberi tumpuan kepada pemadanan kerja dan kebolehpasaran tenaga kerja.

-Advertisement-

Noor Azlan berkata adalah penting supaya kemiskinan dibuat pentakrifan semula dan diklasifasikan dengan lebih tepat, sama ada kemiskinan kekal atau transit.

“Sebagai contoh kumpulan petugas kabin kru yang ramai dalam kalangan mereka hilang pendapatan akibat pandemik yang menjejaskan industri penerbangan; namun sekiranya kumpulan ini kembali bertugas semula nanti, mereka tidak seharusnya diletakkan dalam kumpulan kemiskinan kekal,” katanya. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427