KUALA LANGAT, 2 Mac — Kebakaran di kompartment 15 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di sini yang mula dikesan sejak kelmarin, kini telah merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata kerajaan negeri telah memperoleh bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melakukan pengeboman air menggunakan pesawat Bombardier CL-415 bagi mempercepatkan kerja pemadaman kebakaran tersebut.
Katanya penggunaan teknik pengeboman air akan dijalankan petang ini, diyakini mampu mempercepatkan pemadaman antara dua hingga ke tiga minggu daripada jangkaan masa empat sehingga enam minggu sebelum ini.
Tambahnya penggunaan pesawat Bombardier CL-415 telah mendapat kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk diterbangkan hari ini.
“Kami telah berjaya memadam kawasan seluas 6.07 hektar sejak semalam dan usaha digembleng untuk memadamkan kepala api, daripada ia merebak ke bahagian lain yang berhampiran dengan hutan,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke kawasan kebakaran hari ini.
Norazam berkata seramai 180 anggota telah ditugaskan untuk memadam kebakaran yang melibatkan 120 anggota bomba, 30 orang dari Jabatan Perhutanan serta tujuh anggota APMM.
Beliau berkata jalan masuk yang sempit dan rapuh serta sumber air yang terhad menyukarkan usaha pemadaman.
“Selain itu, apabila kebakaran yang melibatkan tanah yang terdapatnya akar pokok, ia akan menyebabkan pokok boleh tumbang pada bila-bila masa,” katanya.
Sementara itu Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian yang turut hadir melakukan tinjauan berkata kebakaran itu melibatkan tanah gambut yang bukan sahaja dipermukaan tanah malahan di bawah tanah juga, sedalam satu meter.
Hee berkata beliau tidak menolak punca kebakaran disyaki akibat perbuatan tidak bertanggungjawab petani haram di kawasan hutan simpan terbabit yang melakukan pembakaran bagi membuka tanah pertanian baharu.
Bagaimanapun siasatan lanjut masih terus dijalankan, katanya.
Beliau berkata mereka yang disabit kesalahan boleh didenda RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, ataupun kedua-dua sekali.
Jabatan Alam Sekitar juga boleh menggunakan Akta Alam Sekitar sedia ada, serta boleh mengenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun ataupun kedua-duanya sekali, katanya.
— BERNAMA