Kerajaan usaha atasi masalah kemiskinan akibat COVID – PM Muhyiddin

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 1 Mac — Kerajaan sedang berusaha untuk mengatasi masalah kemiskinan  susulan pandemik COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata Kabinet telah membincangkan secara mendalam mengenai isu itu setelah menyedari masih ramai yang menanggung kesusahan walaupun kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya telah dimaklumkan bahawa jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik COVID-19 telah meningkat.

-Advertisement-

“Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita,” katanya.

Dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin sempena genap setahun beliau menerajui kerajaan Malaysia hari ini, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan yang dipengerusikannya akan meneliti masalah berkenaan secara lebih terperinci dan langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasinya.

 

Beliau berkata program pembasmian kemiskinan akan mengambil kira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar.

Mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Muhyiddin berkata rancangan itu bertujuan untuk mencapai “Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan” dengan dasar dan strategi yang dirangka adalah komitmen kerajaan yang prihatin terhadap permasalahan rakyat dan meletakkan ekonomi Malaysia di landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Antara keutamaan kerajaan di bawah RMK-12 yang meliputi tempoh 2021 hingga 2025 itu adalah menangani kemiskinan khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi dengan melaksanakan program yang lebih menyeluruh dan bersasar, katanya.

Turut diberi penekanan, kata beliau, ialah Agenda Pemerkasaan Bumiputera bagi mengurangkan jurang antara bumiputera dengan kaum lain, mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.

Keutamaan lain termasuk menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan pendigitalan.

Selain itu, menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi dan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon, katanya.

-Advertisement-

Muhyiddin berkata pelan pembangunan sosioekonomi negara lima tahun berkenaan penting dan matlamatnya bukan sahaja merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, malah turut memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama.

“Sementara kerajaan pada masa ini memberi fokus kepada usaha-usaha untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, kita juga perlu merancang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Kerajaan, katanya telah memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020 dengan matlamat utama supaya rakyat dapat mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030.

Beliau berkata objektif utama WKB 2030, yang dilaksanakan melalui RMK12 dan RMK13 (2026-2030), adalah untuk memastikan pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan, dan mencapai hasrat negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Majlis amanat itu berlangsung secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal di Putrajaya, antaranya menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan juga secara maya.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427