Kilang simpan LPG haram diserbu, 319 tong gas dirampas

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Sebuah premis di Puchong, Selangor dekat sini berjaya diserbu setelah disyaki memindahkan LPG bersubsidi kawalan secara haram ke dalam ratusan tong gas industri.

-Advertisement-

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan itu dibuat pada Selasa lalu.

“Premis tanpa nama ini merupakan sebuah kilang di kawasan perindustrian yang dijadikan stor simpanan LPG bersubsidi 14 kilogram (kg),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ketika serbuan secara mengejut itu ujar beliau, pasukan penguat kuasa tersebut menemui beberapa barang antaranya hos paip dan ais batu dipercayai bagi tujuan pemindahan gas.

Sejumlah 113 tong LPG industri berat 50kg dan 206 tong LPG berat 14kg dirampas dengan nilai keseluruhan RM147,270 serta tiga orang turut ditahan bagi membantu proses siasatan.

“Kami mengesyaki premis ini telah digunakan sebagai tempat pemindahan gas atau decanting untuk LPG bersubsidi 14kg ke dalam tong LPG industri 50kg,” kata Shamsul Nizam lagi.

Kilang berkenaan tambah beliau, disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.

-Advertisement-

Sementara aktiviti decanting gas LPG yang bersubsidi di premis tersebut jelas beliau, merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak kementerian serius dalam menangani isu perlakuan manipulasi bekalan barang yang bersubsidi dan tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” tegasnya.

Langkah penguatkuasaan itu kata Shamsul Nizam, demi melindungi rantaian bekalan barangan berkenaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada pengguna di negara ini secara am.

Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu ujarnya, turut akan bertindak tegas menahan dan membawa pihak terbabit yang sengaja melakukan kesalahan tersebut ke muka pengadilan.

Pada masa sama, kementerian juga komited melindungi kepentingan dan hak pengguna dalam membangunkan ekosistem beretika seiring aspirasi ke arah masyarakat negara maju. – UTUSAN ONLINE


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427