KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel sedang memperhalusi strategi ‘rahsia’ dalam memastikan tempoh latihan singkat dapat memberi impak yang maksimum kepada skuad Red Giants menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini.
Hanya memiliki masa kurang dari tiga minggu untuk mengadakan latihan bermula esok, semua pasukan bertanding termasuk Selangor perlu melakukan latihan berbeza dari biasa.
“Sudah tentu semua peminat bola sepak gembira bahawa sukan ini akan kembali tidak lama lagi dan ini juga berita yang dinantikan oleh semua pegawai dan pemain Selangor FC,” kata Neitzel.
“Namun, dengan tempoh kurang dari tiga minggu untuk persiapan, setiap jurulatih perlu merancang sesi latihan dengan cermat dan teliti, supaya pemain akan mendapatkan hasil yang maksimum.
“Pada masa yang sama, kita perlu memastikan bahawa mereka (pemain) tidak mendapat sebarang kecederaan sebelum liga bermula.
“Selebihnya, saya dan semua jurulatih Selangor FC akan melakukan yang terdaya untuk mengembalikan kecergasan perlawanan pemain Red Giants secepat mungkin kerana kami mahukan kejayaan. Kerana ini adalah matlamat kami untuk musim yang akan datang.”
Selangor dianggap salah satu pasukan yang mampu menjadi pesaing merebut kejuaraan dalam Liga M musim ini berdasarkan langkah mereka mengikat beberapa pemain bintang serta membawa masuk Neitzel yang diharap dapat menerapkan falsafah bola sepak Jerman.
Untuk rekod, Selangor FC dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka merancang tiga perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pertama liga.
Ia bagi menilai kesefahaman dan kesesuaian pemain dengan corak permainan selain memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik sama ada dari segi fizikal dan mental.
-BH