YANGON: Tentera Myanmar didakwa menyerbu ibu pejabat parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, di sini, malam tadi, ketika krisis semakin memuncak dengan peningkatan penentangan terhadap rampasan kuasa.
Penggulingan serta penahanan Suu Kyi oleh tentera pada minggu lalu menyebabkan ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalanan di Myanmar dan melaungkan bantahan walaupun dilarang pihak junta.
“Diktator tentera menyerbu dan memusnahkan ibu pejabat NLD kira-kira jam 9.30 malam,” umum NLD dalam kenyataan ringkas menerusi laman sosial Facebook parti itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Serbuan dilaporkan berlaku selepas demonstrasi memasuki hari keempat berturut-turut, semalam, yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan meriam air di beberapa bandar, selain melepaskan peluru getah terhadap penunjuk perasaan di Naypyidaw dan gas pemedih mata di Mandalay.
Myanmar terus bergolak dengan bantahan meluas walaupun junta memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas tunjuk perasaan yang mengancam ‘kestabilan’, dan mengenakan sekatan baharu untuk melarang perhimpunan melebihi lima orang.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pihaknya ‘amat bimbang’ terhadap keganasan yang berlaku.
“Penggunaan kekerasan tidak wajar terhadap penunjuk perasaan adalah tidak boleh diterima,” kata penyelaras kemanusiaan dan residen PBB di Myanmar, Ola Almgren.
Di Naypyidaw, sejumlah saksi mendakwa polis melepaskan tembakan daripada projektil selepas menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan.
“Mereka melepaskan tembakan amaran ke udara sebanyak dua kali, kemudian menembak (penunjuk perasaan) dengan peluru getah,” kata seorang residen kepada AFP.
Seorang doktor pula memaklumkan, dua individu berumur 23 dan 19 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital susulan tindakan pihak berkuasa.
“Kami percaya bahawa ia adalah peluru sebenar berdasarkan keadaan luka dan kecederaan mereka,” katanya. – AFP