Rindu jemaah terubat dapat solat Jumaat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kebenaran memenuhkan sebahagian masjid di ibu negara bagi menunaikan solat Jumaat, bermula hari ini, melegakan jemaah.

-Advertisement-

Tinjauan di beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur mendapati orang ramai mula memenuhi masjid seawal jam 12.30 tengah hari untuk mendapatkan tempat di saf yang terhad.

-Advertisement-

Mereka dilihat mematuhi arahan ditetapkan setiap pengurusan masjid dengan memakai pelitup muka, melakukan penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri.

JEMAAH Masjid Wilayah Kuala Lumpur menunaikan Solat Jumaat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat jumaat kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau jumaat dengan menjaga penjarakan fizikal 1.5 meter dan SOP yang ditetapkan. KHIS/MAHZIR MAT ISA
JEMAAH Masjid Wilayah Kuala Lumpur menunaikan Solat Jumaat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat jumaat kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau jumaat dengan menjaga penjarakan fizikal 1.5 meter dan SOP yang ditetapkan. KHIS/MAHZIR MAT ISA

Di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jemaah dilihat segera duduk di saf yang dijarakkan lebih dari satu meter dan sudah mengambil wuduk di rumah atau tempat kerja masing-masing.

Imam Besar masjid berkenaan, Ustaz Muhyidin Aziz@Saari, berkata masjidnya menampung seramai 3,500 orang pada solat Jumaat hari ini dan ramai dijangka mengambil peluang untuk menunaikan ibadat ini susulan perintah yang dikeluarkan pihak berkuasa sejak lebih sebulan lalu.

“Alhamdulillah, hari ini kita dibenarkan membuka masjid untuk sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat dan sejak semalam kita mendapat maklum balas positif sebaik membuat hebahan di media sosial masjid.

“Pembukaan masjid untuk solat Jumaat bukan kepada kariah sahaja tetapi untuk semua. Apabila cukup sahaja 3,500 jemaah iaitu melengkapi dewan masjid dan di anjung, kami akan meneruskan ibadah ini,” katanya kepada BH.

Ditanya persiapan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan masjid itu, Muhyidin berkata, pengurusan masjid memperketatkan pelbagai perkara bagi memastikan tiada jangkitan COVID-19.

“Perkara yang utama adalah mengenai penjarakan fizikal dan di setiap anjung kita ada kakitangan bertugas untuk membantu dan menjaga jemaah,” katanya.

Muhyidin berkata, kebenaran yang diberikan pihak berkuasa perlu diambil kesempatan oleh orang ramai untuk berjemaah di masjid.

“Jika dalam media sosial, ramai orang yang mengatakan merindui masjid, jadi kesempatan yang diberikan perlu dimanfaat semua pihak untuk mengimarahkan masjid,” katanya seramai 500 jemaah boleh memenuhi masjid pada solat fardu setiap hari.

Sementara itu, Imam Masjid Ibn Mas’ud di Jalan Damai, Ampang, Ustaz Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak, berkata masjidnya menjalankan proses sanitasi sebelum dan selepas solat Jumaat bagi membendung penularan COVID-19.

“Sebenarnya proses sanitasi ini dilakukan setiap hari kerana kami membuka masjid ini untuk menjadi lokasi rehat bagi pemandu e-hailing.

“Apabila kebenaran separuh jemaah masjid bersolat diberikan, kita akan mengetatkan lagi operasi termasuk proses pembersihan kerana ia perkara terbaik untuk dilakukan ketika ini,” katanya.

Katanya, pihak masjid juga menetapkan penjarakan bagi jemaah adalah 1.5 meter dan orang ramai yang mahu ke masjid amat digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Khutbah Jumaat juga diringkaskan dengan hanya melakukan perkara dan bacaan wajib,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427