KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian iaitu JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata menerusi inisiatif itu, TH menyediakan lebih banyak ‘touchpoints’ untuk kemudahan semua pendepositnya.
Katanya, sebanyak 28 bank di negara ini turut menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan internet masing-masing.
“Melalui JomPay, pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
“TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada pendepositnya dan dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, pada masa sama pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet sedia ada.
“Pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma.
“Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian juga meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter.
“Justeru, dengan kemudahan tambahan ini akan memudahkan lagi pendeposit berurusan dengan TH,” katanya.
-BH