GEORGE TOWN: Pengusaha kedai gunting rambut yang kini disifatkan sedang “nazak” selepas tidak dibenarkan beroperasi, merayu kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.
Bendahari Persatuan Gunting Rambut India (PGRI) Pulau Pinang V Tharmararaj berkata, semua pengusaha kedai gunting rambut hanya sempat beroperasi selama enam bulan sejak 10 Jun tahun lepas, sebelum diarahkan ditutup semula akibat PKP.
Beliau berkata, pihaknya tidak kisah sekiranya kerajaan mahu mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk kedai rambut, asalkan mereka dibenarkan beroperasi secepat mungkin.
“Saya rasa SOP di kedai rambut antara yang paling ketat dan setakat ini belum dengar ada kluster daripada perniagaan kedai gunting rambut. Kami baru sahaja berpeluang untuk ‘pulih’ setelah terjejas teruk akibat PKP yang pertama, kemudian perlu ditutup semula.
“Sebanyak 60 kedai gunting rambut bernaung di bawah persatuan ini dan semuanya daripada golongan B40. Saban hari kami (persatuan) menerima rayuan daripada mereka yang meminta tolong dari bentuk kewangan, kerana tidak mampu membeli makanan untuk keluarga,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kedai Gunting Rambut Brothers, semalam.
Katanya, walaupun dibenarkan beroperasi sejak Jun 2020, pendapatan harian mereka merosot sebanyak 50%, dan larangan pengoperasian pada PKP 2.0 memburukkan lagi keadaan.
Katanya, PGRI juga tidak menggalakkan ahli persatuan mengambil tempahan gunting rambut di rumah pelanggan, bagi mengelakkan kemungkinan berlaku penularan wabak Covid-19.
“Akibatnya, ramai ahli yang tukar bidang kerja. Ada yang menjual nasi lemak, menjadi tukang masak, pekerja kilang sementara dan banyak lagi. Jadi kami sangat-sangat memohon pertimbangan kerajaan,” katanya.
Tharmararaj merupakan generasi ketiga dalam perniagaan kedai gunting rambut di Kedai Gunting Rambut Brothers, yang beroperasi selama 60 tahun.
Beliau berkata, sekiranya keadaan masih sama, perniagaan itu berkemungkinan akan ditutup seperti kebanyakan kedai gunting rambut lain, di seluruh negara.
-BH