PETALING JAYA: Sekumpulan penggodam yang menggelar diri “Anonymous Malaysia” memberi amaran kedua akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian yang dinamakan #OpsWakeUp21.
Dalam video 3 minit 17 saat, satu suara latar berkata, sejak 2015, penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan WhatsApp, termasuk menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka.
Katanya, puncanya disebabkan pelayan kerajaan dan swasta yang mengandungi data sedemikian digodam serta dibocorkan.
Dakwanya, data itu kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.
“Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami,” menurut rakaman suara itu sambil menambah, jika tiada tindakan diambil, netizen akan melakukannya.
“Kami tidak maafkan, kami tidak lupa, nantikan kami.”
Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan berikrar akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian melalui #OpsWakeUp21.
Kumpulan itu berkata, serangan siber itu akan menjadi “wake-up call” buat kerajaan yang dikatakan untuk membalas dendam terhadap pelanggaran data dan penjualan maklumat peribadi orang ramai.
Susulan itu, polis berkata, mereka belum menerima sebarang laporan laman web kerajaan digodam susulan ancaman sebuah kumpulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Zainuddin Yaacob bagaimanapun berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.
-FMT