JEMPOL: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM3, 500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini, selepas mengaku salah mengugut menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya pada pertengahan Januari lalu.
Majistret, Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Fazrul Mohd Fuzi, 26, dari Kuala Pilah selepas tertuduh mengaku kesalahan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada jam 7.07 malam 17 Januari lalu, di Taman Desa Putera, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dengan niat mahu menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya yang berusia 22 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 akta yang sama.
Siasatan polis mendapati, tertuduh memiliki gambar dan video aib milik teman wanitanya itu di dalam telefon bimbit tertuduh.
Tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar dan video milik bekas kekasihnya selepas wanita itu tidak mahu meneruskan hubungan dengannya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-BH