Nenek dituduh membunuh, bapa didakwa dera anak OKU

Estimate Reading Time: 2 minutes

SELAYANG: Seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membunuh cucu saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia lima tahun di Gombak, dekat sini, akhir Disember lalu.

-Advertisement-

Berdasarkan pertuduhan, Ipzuma Ambo, 55, yang bekerja sebagai pembantu rumah, dituduh dengan niat membunuh Qaseh Nur Qalesya Roza Iskandar.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat bernombor 28, lot 2195, Lorong Malion dua, Kampung Sungai Chin Chin, Gombak, dekat sini antara 28 Disember jam 12.01 pagi hingga 30 Disember jam 8.10 malam.

Ipzuma dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Sementara itu, bapa mangsa, Roza Iskandar Mardi turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan secara menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan Qaseh Nur Qalesya.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan, Roza Iskandar, 34, dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman sama di antara 1 Januari hingga 30 Disember 2020.

-Advertisement-

Roza Iskandar dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boeh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Prosiding kes bagi kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 kepada Roza Iskandar dengan syarat tertuduh harus melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua kes itu pada 18 Februari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia lima tahun disepak dan ditendang sehingga usus pecah oleh suspek sejak tinggal bersama pada 2017.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin pada 7 malam, 30 Disember lalu sebelum menghubungi ambulans.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427