PETALING JAYA: Peniaga sayur di pasar borong di Selayang memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran sewa tapak gerai mereka semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pengecualian itu akan membantu mereka berdepan kerugian disebabkan PKP, kata peniaga Nazlee Abdul Aziz, yang bercakap kepada FMT mewakili semua penjual sayur di pasar itu.
Peniaga di pasar itu membayar sewa bulanan sebanyak RM1,500. Semasa PKP tahun lalu, yang berlangsung hampir tiga bulan, DBKL mengecualikan sewa sebulan.
Nazlee berkata peningkatan kes Covid-19 melibatkan pasar itu sejak beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan penutupan banyak perniagaan di sana.
Bahagian makanan laut, misalnya, telah ditutup selama lima hari.
“Dengan penutupan operasi kami kerana Covid-19 dan penurunan perniagaan yang drastik kerana PKP, DBKL sepatutnya tidak mengutip sewa sehingga PKP berakhir,” kata Nazlee, sambil menambah mereka juga masih perlu membayar gaji pekerja.
Beliau menggesa DBKL mengehadkan kemasukan ke pasar itu hanya kepada pekerja gerai dan syarikat berdaftar supaya penyebaran virus dapat dikawal.
Seorang lagi peniaga pasar itu, Wong Chin Kau, berkata perniagaannya menurun sebanyak 50% sejak PKP bermula pada 13 Jan.“Hanya ada sedikit pelanggan,” katanya kepada FMT. “Mereka semua menjauhkan diri kerana takut.”
Katanya, kerajaan lambat dalam membuat saringan Covid-19 terhadap peniaga dan pekerja, tidak seperti PKP tahun lalu.
“Tahun lalu, ujian (saringan) dibuat dengan segera dan kes-kes terkawal, tetapi tidak sekarang,” katanya. “Kami rasa kerajaan sepatutnya terus buat ujian rawak untuk mencegah kes dari tersebar.”
Wong turut menggesa kerja-kerja sanitasi pasar dibuat segera supaya mereka yang sihat dapat kembali berniaga.
Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu FMT pasar itu melaporkan sebanyak 150 kes, dengan 60 dari bahagian sayur dan selebihnya dari bahagian ikan dan buah-buahan.
Sejumlah 600 peniaga dan pekerja sedang menunggu keputusan ujian swab mereka.
FMT cuba mendapatkan maklum balas DBKL dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kemungkinan penutupan sepenuhnya pasar itu akibat lonjakan kes Covid-19.
-BH