SEREMBAN: Sebuah premis pembuatan biskut dan roti di Taman Seremban Jaya dekat sini diserbu penguat kuasa susulan dipercayai menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kelulusan, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata serbuan jam 11.15 pagi itu disertai empat pegawai dari KPDNHEP Negeri Sembilan dan lima pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Operasi itu adalah hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS selama seminggu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan itu digantung pada 23 September tahun lalu dan seterusnya ditarik JHEAINS pada 12 Oktober lalu,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, syarikat berkenaan masih menggunakan logo halal JAKIM pada paket pembungkusan produk keluaran yang dikeluarkan.
Beliau berkata, dalam serbuan sebanyak 687 unit paket produk makanan disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 834.80.
Menurutnya, kesemua barangan terbabit di sita di bawah Perkara 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Perkara 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan, bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.
“Bagi individu pula, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
-BH