KUALA LUMPUR: Jualan hartanah dijangka perlahan pada separuh pertama 2021, namun akan melantun sedikit pada separuh kedua 2021, jika keadaan COVID-19 bertambah baik, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini berkata kelonggaran sekatan pergerakan memberikan isyarat positif kerana ia akan mendorong pemulihan ekonomi ke landasan yang betul, tetapi memberi amaran bahawa jika keadaan COVID-19 semakin buruk ia akan menyebabkan keadaan kembali lemah.
Sehubungan dengan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan neutral bagi pemaju hartanah, memandangkan asas struktur mencabar dalam sektor tersebut seperti kemampuan, lebihan bekalan dan isu-isu dasar.
Kenangan berkata lambakan hartanah di Malaysia dijangka berterusan dan mungkin tidak bertambah baik melainkan berlaku pembetulan dalam harga hartanah yang berbaloi bagi pembelian dalam masa terdekat untuk mendorong permintaan.
“Situasi lambakan hartanah kebanyakannya adalah melibatkan pangsapuri kediaman dan berperkhidmatan, yang merangkumi 84 peratus daripada keseluruhan jumlah lambakan,” katanya, dan menambah unit bertingkat tinggi merangkumi 54 peratus daripada lebihan hartanah kediaman di Malaysia.
Firma penyelidikan itu percaya segelintir pemaju mungkin akan menurunkan harga dalam penawaran produk tertentu dalam waktu terdekat ini untuk memenuhi sasaran jualan, kerana pasaran terus menyasarkan segmen yang mampu milik.
“Kemampuan memiliki rumah akan terus menjadi perhatian utama dan kami percaya langkah kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah dan pengecualian duti setem hingga 2025 – walaupun positif – mungkin tidak mencukupi untuk memacu permintaan hartanah yang kukuh,” katanya.
– BERNAMA