Kurniawan kekal ketua jurulatih Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Skuad Sabah FC mengekalkan khidmat ketua jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto untuk membimbing pemain Sabah menghadapi saingan Liga Super pada musim ini.

-Advertisement-

Keputusan itu diumumkan pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif badan bola sepak Sabah itu semalam.

Bekas pemain Sabah, Burhan Ajui pula diumumkan sebagai Penolong Jurulatih yang baharu.

Kurniawan yang membimbing skuad Sabah pada musim lalu hingga kekal dalam Liga Super bagi musim 2021, sebelum ini dikhabarkan diganti ketua jurulatih baharu dari Sarawak, Lucas Kalang Laeng.

Nama Lucas sebelum ini diumumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC), Datuk Verdon Bahanda.

Verdon melepaskan jawatan pada bulan lalu selepas Bung Moktar mengumumkan mahu melakukan penstrukturan semula dalam Sabah FC.

Semalam, Bung Moktar mengumumkan pengganti Verdon, iaitu seorang ahli perniagaan yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan.

-Advertisement-

Khairul sudah memulakan tugas sebagai CEO dan dilihat hadir dalam beberapa program bersama pemain Sabah FC sejak akhir bulan lalu.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut mengumumkan Presiden Persatuan Triathlon Sabah, Ahmad Marzuki Nasir, sebagai Pengurus Pasukan Sabah FC.

Sementara itu, senarai pemain Sabah FC yang akan menggalas misi Sabah dalam Liga Super bermula bulan depan akan dimuktamadkan oleh Kurniawan.

Bung Moktar berkata, Ketua Jurulatih itu dijadual tiba Rabu ini dan beliau akan membuat pemilihan pemain sehingga pertengahan bulan ini.

“Pemain yang berjaya akan menandatangani kontrak selepas pemilihan itu nanti. Kita mahu melihat pemain Sabah FC kali ini dapat mempamerkan prestasi terbaik dan berupaya bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Super musim ini,” katanya.

Katanya, majlis memperkenalkan pemain Sabah FC dan jersi pasukan bagi musim ini akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor pada 14 Februari depan.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427