MetMalaysia nafi dakwaan negara akan sejuk seperti kota London

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan cuaca musim sejuk seperti kota London bakal melanda Malaysia pada Februari nanti.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan, dakwaan yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp itu adalah maklumat palsu yang pernah tersebar pada 2016 dan diulang siar.

Jabatan itu turut menjelaskan, cuaca sejuk yang dialami di kebanyakan kawasan di Semenanjung, terutama Pantai Timur dan Pantai Barat ketika ini adalah disebabkan keadaan cuaca lembap dan mendung yang berterusan dalam tempoh beberapa hari, akibat luruan angin sejuk yang melanda negara.

“Selain itu, keadaan rantau negara yang berawan dan tiada sinaran matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari yang lalu turut menyumbang kepada keadaan cuaca yang lebih sejuk daripada biasa,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

Pada 3 Januari lalu, suhu harian minimum terendah yang direkodkan di Terengganu, Pahang dan Johor ialah 21 hingga 22 darjah Celsius dan keadaan itu adalah biasa apabila hujan serta mendung sepanjang hari.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427