Madrid: Barcelona menang 1-0 ke atas kelab bawahan, Huesca awal pagi tadi dengan Lionel Messi muncul pemain luar pertama tampil 500 aksi La Liga manakala jaringan Luis Suarez memastikan kemenangan pendahulu, Atletico Madrid ke atas Alaves.
Messi yang kembali ke Barca selepas tidak beraksi perlawanan terakhir 2020 akibat kecederaan buku lali menghantar bola kepada Frenkie de Jong untuk gol kemenangan pada minit ke-27.
Walaupun skuad Ronald Koeman bermula cemerlang pada awal musim dengan empat kemenangan berturut-turut di tempat lawan, mereka kini kekal di tempat kelima, 10 mata di belakang Atletico dan beraksi lebih satu perlawanan.
“Secara umumnya, selain 20 minit pertama kami beraksi dengan baik,” kata Koeman.
“Kami mencipta banyak bahaya, tidak mudah berdepan pasukan yang menutup bahagian belakang. Kami mendapat gol hebat malah boleh mendapat dua atau tiga lagi peluang.”
Barca menguasai perlawanan dan mencipta beberapa peluang tetapi penjaga gol Huesca Alvaro Fernandez tangkas menyelamatkan gawangnya.
Pada perlawanan awal, Suarez meledak jaringan kemenangan pada minit ke-90 untuk Atletico yang menewaskan Alaves 2-1 sekaligus memintas Real Madrid di puncak.
Dalam perlawanan di Mendizorroza, Marcos Llorente meletakkan Atletico di depan sejurus sebelum tamat babak pertama hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Skuad kendalian Diego Simeone tampak akan mengawal permainan selepas pertahanan Alaves, Victor Laguardia dibuang padang kerana mengasari Thomas Lemar ketika pemain Perancis itu membuat larian ke gawang tuan rumah.
Tandukan Florian Lejeune terkena palang buat Alaves sebelum gol sendiri Felipe pada minit ke-84 nyaris membuatkan Atletico kehilangan dua mata penting.
Bagaimanapun, Suarez memastikan kemenangan keempat berturut-turut Atletico pada minit terakhir perlawanan apabila menyambar bola hasil hantaran lintang Joao Felix.
– AFP