GST dilaksanakan semula semula hanya selepas kelemahan diatasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), hanya selepas semua kelemahan berhubung pelaksanaannya berjaya diatasi supaya tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abd Rahim Bakar berkata GST diakui sebagai sistem percukaian komprehensif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun kerajaan mengambil iktibar atas semua yang berlaku sebelum ini terutama dari segi pelaksanaannya, sehingga menimbulkan pelbagai polemik, lapor Bernama.

“Sememangnya GST adalah sistem percukaian komprehensif, tetapi pada masa sama mempunyai kelemahan dalam aspek pelaksanaan. Oleh itu kerajaan akan melakukan kajian lebih terperinci.

“Mungkin kelemahan seperti dari segi bayaran balik menimbulkan kesan kepada indeks harga pengguna menyebabkannya tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

-Advertisement-

Beliau yakin sekiranya semua kelemahan itu diatasi, GST akan dapat dilaksanakan kembali dan mendapat sokongan pelbagai pihak sekali gus meningkatkan kembali pendapatan kerajaan.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, kerajaan memandang serius kegiatan ekonomi gelap yang menyebabkan ketirisan hasil sebanyak RM300 billion seperti dibangkitkan Senator Datuk Othman Aziz.

“Kerajaan amat mengambil berat soal ini dan akan memastikan ia diatasi untuk meningkatkan hasil kerajaan.

“Beberapa peruntukan undang-undang akan diperketatkan dan agensi penguat kuasa dikoordinasi untuk memastikan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan, sekali gus mengelak ketirisan,” katanya.

Ekonomi gelap adalah aktiviti ekonomi yang tidak direkodkan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengutip cukai.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427